Thursday, August 14, 2008

Mengembangkan Kemahiran Membaca

oleh
Cikgu Arshid Abdullah dan Cikgu Zamree Mustapha
Sekolah Rendah Fairfield Methodist


Dalam peringkat Darjah 1 didapati ada sebilangan para pelajar yang masih belum pandai membaca walaupun kemahiran ini telah diajar kepada mereka ketika berada di peringkat prasekolah selama dua tahun. Selama jangka masa ini juga, ada sebilangan para pelajar ini masih belum dapat mengenal huruf-huruf dalam abjad. Akibat dari tidak dapat menguasai kemahiran ini, para pelajar ini gagal dalam mata-mata pelajaran yang diajar di sekolah termasuk mata pelajaran bahasa Melayu.

Bertolak dari kesedaran inilah maka penyelidik cuba meninjau apakah ciri-ciri atau aspek-aspek kelemahan yang dialami oleh para pelajar ini dalam menguasai kemahiran membaca .

Dengan menggunakan kaedah Ujian Diagnostik, pengkaji ingin mengenal pasti faktor yang menyebabkan kegagalan dalam bahasa Melayu di kalangan murid Darjah 1.

Satu Ujian Diagnostik telah direka khusus untuk mengenal pasti kelemahan murid-murid dalam pembacaan. Ujian ini mengandungi komponen-komponen bahasa yang perlu dikuasai oleh seseorang yang mahir dalam pembacaan iaitu fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik. Kemahiran dalam pembacaan merangkumi pengecaman huruf dan perkataan, penyebutan dan pemahaman terhadap apa yang dibaca.

Dapatan daripada ujian ini digunakan oleh pengkaji untuk mengenal pasti kelemahan para pelajar dan juga sebagai panduan kepada pengkaji untuk mereka dan mengatur strategi bagi program pemulihan kepada kelemahan-kelemahan ini. Pada pengakhir program ini, pengkaji mendapati bahawa kelemahan-kelemahan ini dapat diatasi dan para pelajar dapat menguasai kemahiran ini.

Ianya diharapkan bahawa kajian ini dapat membantu guru-guru dan pihak sekolah yang sedang menjalankan program pemulihan agar kegagalan pada peringkat awal persekolahan dapat dibendung dan secara tidak langsung memperbaiki tahap pemerolehan dan penguasaan bahasa Melayu di kalangan para pelajar.